Ini hanya pandangan peribadi saya sahaja berdasarkan satu soalan ringkas yang saya terima:
"Bolehkah kepala bayi yang sudah keluar
di celah kangkang ditolak masuk semula, kemudian terus buat pembedahan
untuk keluarkan bayi tersebut? Selepas itu, bayi tersebut mati pula dan
kononnya sebab kepala bayi ditolak masuk secara paksa walaupun dah ada
celah kangkang?"
Apabila kepala bayi sudah keluar, adalah mustahil untuk ditolak masuk
kembali. Jika pernah sambut bayi, tentu tahu bahawa ia agak mustahil
untuk menolak semula kepala yang telah keluar, lebih-lebih lagi jika dah
celah kangkang.
Sekiranya kepala bayi telah keluar dan bayi viable (masih hidup) serta
dalam keadaan kecemasan, doktor akan menggunakan instrumen seperti
forcep atau vakum untuk membantu mengeluarkan bayi dengan segera jika
memenuhi syarat, bukan pembedahan. Jika instrumen gagal, barulah
pembedahan akan dipertimbang.
Sekiranya kepala bayi dah keluar celah kangkang dan bahu bayi
tersangkut, ada beberapa maneuver (posisi) yang akan dibuat untuk
mengeluarkan bayi, bukan pembedahan.
Sekiranya kepala bayi dah keluar tapi bayi sudah meninggal dunia,
kebiasaannya doktor akan biarkan proses kelahiran itu melalui jalan
bawah sahaja, bukan pembedahan. Ini kerana risiko pembedahan kepada ibu
adalah lebih tinggi berbanding melahirkan bayi yang telah meninggal
dunia melalui jalan bawah.
Tetapi, jika sebenarnya kepala bayi belum keluar namun bayi berada dalam
kondisi tertentu, ada kemungkinan pembedahan akan dilakukan untuk
menyelamatkan bayi contohnya tali pusat/tangkai uri terkeluar (cord
prolapse) atau bayi lemas (fetal distress).
Dalam kes tangkai uri terkeluar, sesiapa yang memeriksa bukaan dan
mendapati ada tali pusat/tangkai uri terkeluar, sememangnya dia akan
menolaknya ke dalam bagi menyelamatkan bayi. Dalam situasi tertentu,
kepala bayi (yang masih dalam rahim) akan ditolak sedikit bagi
mengelakkan ia menekan tali pusat / tangkai uri yang terkeluar dan
seterusnya pembedahan kecemasan akan dilakukan.
Satu kondisi lagi ialah keadaan yang membahayakan nyawa kedua-dua ibu
dan anak contohnya abruptio placenta, embolism, dan lain-lain.
Abruptio placenta ialah uri berpisah daripada dinding rahim sebelum
bersalin menyebabkan pendarahan, bayi lemas dan kontraksi kuat walaupun
jalan bawah belum buka sepenuhnya.
Amniotic fluid embolism pula ialah keadaan di mana cecair ketuban
memasuki saluran darah ibu yang boleh menyebabkan kematian si ibu dan
seterusnya anak.
![]() |
Abruptio placenta - Pemisahan uri daripada dinding rahim sebelum bersalin menyebabkan pendarahan yang banyak dan membahayakan nyawa ibu dan anak. |
![]() |
Shoulder dystocia - Kepala telah keluar ke celah kangkang melepasi vagina, namun bahu tersangkut. |
Dalam kondisi ini, pembedahan kecemasan juga akan dijalankan, dan jika
sangat bernasib baik, kedua-duanya akan selamat. Namun, jika nyawa ibu
sahaja yang selamat, bersyukurlah kerana suami tidak ditinggalkan
keseorangan dan pasangan ini masih ada peluang untuk berusaha
mendapatkan zuriat lagi pada masa akan datang.
Keutamaan pada setiap masa adalah nyawa ibu. Bersyukurlah jika nyawa ibu
terselamat dan seharusnya si ibu perlu berterima kasih kerana
membantunya berikhtiar untuk menyelamatkan nyawa mereka.
0 Response to "'Agak mustahil untuk menolak semula kepala bayi yang telah keluar di celah kangkang si ibu' "
Post a Comment