7 Sebab utama mengapa umat Islam perlu Bersahur

Assalamualaikum dan selamat menunaikan ibadah puasa. Bersahur adalah satu amalan yang perlu diamalkan pada bulan Ramadhan ini. Kita tidak boleh meringankan sahur walaupun ia tidak wajib untuk dilakukan. Sebaliknya kita perlu berusaha untuk bersahur kerana ia boleh memberi manfaat kepada diri kita sendiri.

Waktu sahur yang terbaik adalah di akhir malam iaitu sebelum masuknya waktu subuh atau biasanya kita panggil waktu imsak. Sahur itu bukannya dilakukan di awal malam yang biasanya mungkin dilakukan oleh kita sendiri kerana kita menganggap yang kita tidak perlu lagi bangun di akhir malam untuk bersahur.

Melambat-lambatkan sahur di akhir malam adalah satu sunnah Rasulullah S.A.W. Baginda S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sentiasalah umatku itu dalam keadaan kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka dan melambat-lambatkan sahur.”

Kita tidak mahu menjadi orang yang rugi kerana tidak melakukan sahur. Kita perlu bersahur kerana bersahur itu mempunyai banyak kelebihannya kepada diri kita.

1) Mengamalkan Sunnah Nabi

Setiap apa yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W hendaklah menjadi ikutan kita dalam apa sahaja yang kita lakukan dalam hidup ini. Kita hendaklah mengamalkan sunnah Baginda seperti cara Baginda berpakaian, cara hidup Baginda, cara Baginda melakukan ibadah, dan banyak lagi. Jika kita dapat menjadikan sunnah Baginda sebagai amalan hidup kita maka ganjaran pahala yang besar akan kita perolehi.

Rasulullah S.A.W bersabda: “Barang siapa yang mengikuti sunnahku, bererti dia cinta kepadaku. Dan barang siapa yang cinta kepadaku, maka akan masuk syurga bersamaku.”

Bersahur itu adalah satu sunnah yang hendaklah kita amalkan pada bulan Ramadhan ini. Rasulullah juga bersahur dan mengajak umatnya supaya bersahur. Jika kita dapat bersahur bermakna kita telah mengamalkan sunnah yang ditinggalkan oleh Baginda kepada kita.

2) Mendapat Keberkatan Sahur

Bersahur itu mempunyai keberkatan. Kita hendaklah berusaha untuk bersahur bagi mendapatkan keberkatan yang ada dalam sahur itu. Apa sahaja amalan yang kita lakukan hendaklah ada padanya keberkatan. Apabila sahur yang kita ambil itu ada keberkatan, ia akan dapat memberikan kekuatan kepada diri kita untuk terus melakukan ibadah kepada Allah.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Bersahurlah kamu, kerana sesungguhnya dalam sahur itu terdapat keberkatan.”

Kita perlulah berusaha untuk bersahur bagi mendapatkan keberkatan yang ada dalam sahur itu walaupun bersahur dengan hanya meminum air. Jika tidak bersahur, ianya adalah merugikan kita kerana tidak dapat mengambil keberkatan yang ada dalam sahur itu.

3) Membezakan Puasa Orang Islam

Ibadah puasa yang kita lakukan pada bulan ramadhan ini adalah satu kewajipan yang diperintahkan oleh Allah. Kita perlulah berusaha melakukan ibadah puasa dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepadaNya. Ibadah puasa juga telah diperintahkan oleh Allah kepada umat-umat yang terdahulu sebelum kedatangan islam. Ini bermakna orang bukan islam(yahudi dan nasrani) mereka juga berpuasa. Tapi apa yang membezakan di antara puasa orang islam dengan orang bukan islam ialah dengan adanya sahur.

Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan puasa ahli kitab(yahudi dan nasrani) ialah pada makan sahurnya.”

Dengan bersahur kita telah menunjukkan perbezaan diantara amalan puasa kita orang islam dengan orang bukan islam. Orang bukan islam tidak menjadikan sahur itu sebagai amalan mereka.

4. Melatih Diri Bangun Beribadah

Sebenarnya bersahur mempunyai banyak hikmahnya kepada kita. Jika kita dapat melihat hikmah dianjurkan untuk bangun bersahur pada akhir malam adalah kerana ia dapat melatih diri kita untuk bangun melakukan ibadah Qiamullai. Kita boleh melakukan ibadah Qiamullai seperti solat sunat tahajjud, solat sunat hajat, solat sunat witir, dan solat-solat sunat lain. Ibadah Qiamullai ini dilakukan pada akhir malam untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Pada masa ini tiada siapa yang melihat kita bangun beribadah kepada Allah. Ianya di antara kita dengan Allah. Ianya menunjukkan keikhlasan dan ketakwaan kita kepadaNya. Jika kita bangun pada akhir malam untuk bersahur, kita juga telah dapat melatih diri kita untuk bangun beribadah dan menambahkan pahala ibadah Qiamullai sepanjang bulan Ramadhan ini.

5. Menambahkan Pahala Amalan Sunat

Pada bulan Ramadhan ini kita sangat digalakkan untuk memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti membaca Al Quran, berzikir, berselawat, beristighfar dan amalan-amalan sunat yang lain. Waktu yang paling baik untuk mendekatkan diri kepada Allah pada waktu akhir malam. Pada waktu ini adalah waktu yang sangat baik kerana dapat memberikan ketenangan kepada hamba-hamba yang sentiasa menyebut nama Allah dan mendekatkan diri kepadaNya.

Pada bulan Ramadhan ini kita akan sentiasa bangun sahur serta dapat menambahkan lagi pahala amal ibadah sunat yang lain. Bulan Ramadhan ini adalah bulan terbaik untuk kita melatih diri kita menambahkan pahala amal ibadah sunat dan seterusnya ia akan dapat diteruskan pada bulan-bulan yang lain.

6. Dapat Solat Subuh Di Awal Waktu

Kita sangat digalakkan untuk melewat-lewatkan sahur itu pada akhir malam. Kita hendaklah melewatkan waktu sahur itu sebelum masuknya waktu subuh. Selepas bersahur kita bolehlah terus bersedia untuk menunaikan solat fardhu subuh pula. Apabila telah masuknya waktu subuh, maka kita boleh terus menunaikan solat fardhu subuh di awal waktunya.

Begitulah cantiknya islam dalam mengatur dan memudahkan kita melakukan ibadah. Sahur yang kita lakukan pada akhir malam itu telah dapat memberi kita kekuatan untuk menunaikan ibadah solat subuh pada awal waktunya. Setiap ibadah yang kita lakukan dengan penuh keimanan dan ketakwaan akan diberikan ganjaran pahala yang besar oleh Allah.

7. Memberikan Tenaga Untuk Berpuasa

Kelebihan bersahur adalah ia dapat memberikan kita tenaga dan kekuatan untuk kita terus melakukan ibadah puasa disiang harinya. Ia juga akan dapat memberikan kekuatan kepada kita untuk terus menambahkan amal ibadah yang lain dibulan Ramadhan ini. Berpuasa bukan alasan untuk kita menjadi lemah dan tidak berupaya untuk menambahkan amal ibadah kepada Allah.

Tidak perlu mengambil makanan yang terlalu banyak semasa bersahur. Bersahur dengan mengambil makanan dalam jumlah yang sedikit lebih baik untuk memberikan kita tenaga. Berbanding dengan mengambil makanan yang terlalu banyak hingga terlalu kenyang dan boleh menyebabkan kita menjadi malas untuk melakukan ibadah kepada Allah.

Adalah perkara biasa jika kita memberi alasan tidak bangun bersahur kerana tidak terjaga pada malam harinya. Tapi semua itu bergantung kepada diri kita sendiri bagaimana kita berusaha dan menguatkan diri kita untuk bangun bersahur. Ada banyak cara yang boleh dilakukan untuk memudahkan kita bangun sahur seperti tidur awal, kunci jam, menyuruh ahli keluarga kejut dan banyak lagi. Sebelum tidur, baca doa dan niatkan dalam hati kita untuk bangun sahur pada malam nantinya. InsyaAllah, kita akan diberikan kekuatan oleh Allah untuk bangun sahur.

Bersahur juga dapat memberikan kita semangat untuk berpuasa pada bulan Ramadhan ini. Perasaannya berbeza jika kita berada pada bulan-bulan yang lain. Bulan Ramadhan ini adalah bulan yang penuh rahmat yang dikurniakan oleh Allah kepada hambaNya. Bersyukur kita atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Selamat bersahur dan selamat menunaikan ibadah berpuasa.

0 Response to "7 Sebab utama mengapa umat Islam perlu Bersahur"

Post a Comment

?max-results=10">
'); document.write(" ?orderby=updated&alt=json-in-script&callback=labelthumbs\"><\/script>");