Semalam aku mengeteh bersama tiga lagi rakan dari jam 11 hingga jam 1.30
pagi. Macam-macam hal yang kami bincang dan borakkan. Di antara satu
sisipan kopi panas, sahabat ini mula membuka topik baru.
"Anak-anak kita ini, waktu kecil sahaja rapat dengan kita. Hingga darjah
6 sahaja. Selepas itu, dia mula masuk ke sekolah asrama.
"Makin jauh dan makin renggang hubungan. Jumpa pun sebulan sekali. Itupun kalau kita tak sibuk," katanya.
Kami bertiga mengangguk kepala. Seorang demi seorang mencelah memberikan
idea dan pandangan. Kesimpulannya, kamu semua bersetuju dengan apa yang
dia kata.
Benarlah, walaupun anak itu tidak ke asrama sekalipun, dia sudah
meningkat remaja. Bila menginjak usia remaja, dia mula ada rahsia, mula
ada rasa ingin berteman, mula ingin ruang untuk diri mereka. Biasalah,
remaja. Kita pun pernah jadi remaja, kan?
Mereka mula pandai berdikari, tidak lagi boleh didukung kita. Tidak lagi
mahu main kuda-kuda. Tidak lagi berebut nak panjat atas belakang. Nak
makan bersuap, jauh sekali.
Sahabat ini, dulunya dia punya perniagaan yang berjaya. Sehingga satu
saat, dia jatuh terduduk ditipu kawan sendiri. Enam bulan tanpa kerja,
berfikir dan merancang untuk strategi perniagaan yang seterusnya.
Bila tanpa kerja, seharian dia berada di rumah. Menghantar anak ke situ
sini, membantu anak membuat kerja sekolah dan melayan apa jua permintaan
mereka. Penat, tetapi dia puas. Letih tetapi hubungan dia dengan anak
lebih berkualiti dan rapat.
"Agaknya Allah sengaja menguji aku agar aku sedar dan beri peluang untuk
aku lebih rapat dengan anak-anak," ujarnya sambil menguntum senyum.
Kini dia mula melebarkan empayarnya sedikit demi sedikit. Makin kukuh
dan berjaya empayar barunya itu. Lebih gah dan besar berbanding
perniagaan sebelum ini. Tetapi kali ini dia sudah pandai membahagikan
masa untuk bersama keluarga dan anak-anak. Allah dah 'tegur' dia dulu
dan kali ini dia ingat.
Kalau kita ada anak kecil, luangkanlah masa bersama mereka walau sesibuk
mana pun. Biar ada memori untuk mereka dan kita kenang di masa akan
datang.
Sekejap sahaja anak ini membesar. Jangan kita tersedar bila mereka telah
pun pandai berdikari. Saat mereka telah pun meningkat remaja. Masa itu
kita akan rindukan anak kecil kita yang minta kita buatkan susu. Yang
minta sapukan jem pada rotinya.
Jangan terlampau sibuk dengan dunia sehingga terlupa. Harga anak itu
jauh lebih bernilai dari dunia dan segala isinya. Jangan sehingga anak
itu membesar, hanya tinggal kenangannya dengan bibik yang kekal di
ingatan. Jangan!
Anak itu harta dunia akhirat.
0 Response to "Anak hanya rapat dengan kita sehingga dia berusia 12 tahun"
Post a Comment